Wednesday, March 21, 2007

http://kadirjasin.blogspot.com/

Copy ang Paste dari Blogger Kadir jasin.

PORTAL berita Malaysiakini melaporkan bahawa Kementerian Keselamatan Dalam Negeri telah mengarahkan akhbar di bawah kawalannya agar “tidak mencetak atau memberi sebarang pertimbangan kepada makalah Internet yang didapati tidak berasas atau berasaskan kepada spekulasi semata-mata.”

Arahan bertanggal 13 Mac memberi amaran kepada media massa arus perdana agar tidak memetik atau menyiarkan rencana portal berita dan blog yang “anti-Kerajaan.”

Malaysiakini mendakwa memperoleh salinan surat yang ditandatangani oleh seorang pegawai Unit Kawalan Penerbitan dan Al-Quran bernama Che Din Yusof bagi pihak Ketua Setiausaha Kementerian berkenaan.

Ini adalah satu lagi contoh kebimbangan pemerintah terhadap pengaruh saluran maklumat Internet seperti portal berita dan blog, dan kawalan yang semakin ketat ke atas media massa arus perdana.

Namun ada juga kebaikan kepada arahan terbaru ini. Ia memaksa media massa arus perdana agar memberi perhatian kepada maklumat Internet dan mendalami kesahihannya.

Kesimpulannya media massa arus perdana boleh menyiarkan bahan portal berita dan blog jika didapati berasas seperti pendedahan bahawa Kerajaan membeli jet mewah berharga RM200 juta untuk kegunaan pembesar negara baru baru ini.

Sekadar kegusaran --- apakah baik bagi media massa arus perdana, kepada kebebasan akhbar dan kepada kewibawaan pengarang media arus perdana menerima “warkah” sedemikian dari pemerintah?
PERBUATAN memburuk-burukkan blog dan laman berita web di akhir-akhir ini bukan kebetulan.

Ia adalah satu kempen yang diilhamkan oleh pemilik dan pengendali jentera maklumat dan propaganda rasmi.

Kalau kita masih ingat, tembakan pertama terhadap blogger dilepaskan oleh Timbalan Menteri Tenaga, Komunikasi dan Air, Datuk Shaziman Abu Mansor Ogos lalu. Beliau menyifatkan sesetengah blogger dan pengulas blog sebagai penembak curi.

Saya yakin walaupun Shaziman mengherdik blogger dan pengulas blog yang menembak curi, beliau sebenarnya lebih takut kepada blogger dan pengulas blok yang memperkenalkan diri mereka.

Walaupun majoriti blogger adalah orang biasa yang mengguna Internet sebagai tempat menyimpan catatan (log) peribadi, semakin banyak wartawan dan golongan profesional lain kini menggunakan blog sebagai saluran komunikasi.

Inilah yang ditakuti oleh pemerintah dan elit politik. Mereka bimbang keupayaan mereka membentuk dan menguasai pendapat umum melalui saluran tradisional seperti akhbar, radio dan televisyen dihakis oleh saluran baru maklumat ini.

Tuduhan rambang Menteri Pelancongan Datuk Seri Tengku (Teuku) Adnan Tengku (Teuku) Mansor bahawa blogger umumnya wanita, menganggur dan berbohong adalah manifestasi “ketakutan” elit politik parti pemerintah terhadap pengaruh blog dan laman berita web yang semakin ketara.

Bukti kebimbangan mereka menjadi mutakhir dan sahih apabila akhbar New Straits Times berasa perlu mengerah seorang penulis kolum untuk membelasah blogger.

Penulis yang diupah itu (yang makan gaji) antara lain berkata sfera blog tempatan adalah tempat bermastautin orang yang cacat kehidupan dan ahli tilik yang terpinggir.

Katanya hujah-hujah bodoh dan melulu mereka membuktikan mereka tidak berdaya dan tidak berhak untuk mendapat kerja sepenuh masa.

Penulis yang diupah itu menambah, khabar angin, tuduhan melulu, separa-kebenaran dan pembohongan mutakhir adalah barang jualan mereka dan piawaian, prinsip dan etika diketepikan.

[Malangnya dia tidak pula menyebut bahawa sampai hari ini NST tidak memohon maaf atau menyiarkan surat Tun Dr Mahathir Mohamad memperbetulkan kesilapan laporan mengenai pertemuan beliau dengan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi di Tokyo tahun lalu.)

Isunya lebih besar daripada blogger lawan media arus perdana atau Teuku Adnan lawan blogger wanita. Isunya ialah semakin banyak bekas wartawan media massa arus perdana kini menjadi blogger dan banyak wartawan media massa arus perdana membaca blog dan mencuri-curi mengulas dalam blog.

Dalam konteks yang lebih luas blog dan laman berita web berkemungkinan besar menjadi pemangkin kepada pertembungan generasi pada pilihan raya umum akan datang.

Adalah tidak mustahil bahawa pilihan raya umum nanti akan menjadi gelanggang perentapan generasi yang akan menyaksikan pertembungan antara generasi lama dengan generasi baru.

Manakala generasi lama terikat dengan norma tradisional seperti menyokong parti hidup atau mati, taasub kepada personaliti bergantung pada saluran maklumat tradisional dan buta IT, generasi baru pula bebas daripada politik kepartian, tidak bergantung pada saluran maklumat tradisional dan celek IT.

Pilihan politik generasi muda dijangka lebih menjurus kepada isu daripada taat setia kepada parti atau personaliti.

Inilah asas ketakutan yang menyebabkan orang seperti Shaziman, Teuku Adnan dan penulis kolum upahan memaki hamun blogger dan pengendali laman berita web.
Shaziman, Teuku Adnan dan elit politik tidak perlu takut kepada penembak curi yang “berbohong.” Kebenaran akan membebaskan mereka. Tetapi penembak sasar (sharpshooter) lain halnya!

TIGA pembesar Umno iaitu Ketua Pemuda Datuk Seri Hishammuddin Hussein, Naib Ketua Pemuda Encik Khairy Jamaluddin dan ahli Majlis Tertinggi, Tan Seri Abdul Rahim Tamby Chik – dilaporkan begitu berang.

Mereka dikatakan sangat marah kepada pengurusan kanan GLC kerana gagal hadir kongres yang bertujuan membuat anjakan kepada penyertaan orang Melayu dalam bidang ekonomi dan perniagaan.

Pegawai-pegawai atasan syarikat yang berkaitan kerajaan itu tidak hadir kongres bertajuk Jihad Ekonomi Melayu anjuran bersama Gagasan Badan Ekonomi Melayu (Gabem), Pemuda Umno dan Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia. Rahim adalah presiden Gabem.

Kongres juga mendengar bagaimana GLC tidak teragak-agak bersaing dengan usahawan Melayu/Bumiputera, menarik balik kontrak Bumiputera dan menggantikan pembekal Bumiputera dengan bukan Bumiputera.

Saya tidak bertujuan mengulas lanjut hal ini kerana ini cerita lama. Saya sekadar ingin bertanya:

1. Mengapakah GLC begitu berani mengingkari dasar-dasar kerajaan dan memandang remeh usaha memperkukuhkan penyertaan Bumiputera dalam ekonomi dan perniagaan?

2. Bukanlah Perdana Menteri (Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi) sendiri pada awal pentadbiran Hadharinya mengarahkan GLC agar tidak bersaingan dengan Bumiputera atau mengambil jalan mudah membuat keuntungan dengan mengambil alih usaha niaga Bumiputera yang berdaya maju?

3. Bukankah kerajaan sendiri yang mengenakan Indeks Kunci Prestasi (Key Performance Index) yang antara lain menjadi keuntungan sebagai misi utama GLC?

4. [Dengan maaf dan tanpa prejudis]. Bukankah banyak daripada pengurus kanan GLC hari ini dikatakan begitu akrab dengan dan sangat hormati kepada Saudara Khairy?

5. [Dengan maaf dan tanpa prejudis]. Bukankah Tingkat Empat JPM dan Sri Perdana dikatakan begitu berpengaruh ke atas GLC dan pengurusnya?

6. Dan adakah adil bagi pembesar politik negara, termasuk Hishammuddin, Khairy dan Rahim, mengherdik pengurusan GLC kerana bersaing dengan Bumiputera sedangkan kerajaan sendiri yang mengalih hala tuju GLC daripada “pembinaan kapasiti ekonomi” (economic capacity building) kepada mencari keuntungan?

Blogger Pembohong

Laporan media massa, laman berita Internet dan blog memetik Menteri Pelancongan, Datuk Seri Tengku (Teuku) Adnan Tengku (Teuku) Mansor Khamis lalu (8 Mac) sebagai menyifatkan pengendali blog (bloggers) “pembohong” dan 80 peratus daripada mereka adalah wanita yang tidak mempunyai pekerjaan.

"Kesemua bloggers adalah pembohong, mereka menipu orang ramai dengan menggunakan pelbagai helah. Berdasarkan apa yang saya difahamkan, dari 10,000 bloggers yang menganggur, 8,000 adalah wanita."

Saya tidak ambil hati dan tidak marah kepada pembesar Umno itu. Sekarang zaman pembesar melatah, marah-marah dan berang-berang.

Malah saya bersimpati dengan mereka kerana bloggers dan laman berita web “are really getting on their nerves.”

Jahat sungguh para blogger ini!

Saya Cuma hendak tanya bapak menteri soalan-soalan berikut:

1. Megapa banyak rakyat jelata Malaysia, khasnya wanita, menganggur?

2. Bukankah lebih baik orang menganggur atau separuh menganggur (wanita atau lelaki) menjadi blogger daripada menjadi penyalahguna kuasa, perasuah, penyamun, penyangak dan penagih dadah?

3. Kalau semua blogger “pembohong” kenapakah pembesar seperti Tengku Adnan perlu layan atau takut kepada “pembohongan” mereka?

4. Kenapa pembesar perlu takut dengan apa yang dihujahkan oleh pembohong blog sedangkan para pembesar mempunyai media massa arus perdana untuk membela dan mempertahankan mereka?

5. Adakah para pembesar khuatir bahawa tidak semua blogger penganggur dan pembohong?

Sama-samalah kita fikirkan. Saya tidak hairan jika masanya tiba apabila mereka menafikan laporan media dan menyalahkan media kerana kononnya tersalah lapor atau memutar-belitkan hujah.


KETAKUTAN AHLI POLITIK TERHADAP KEBEJATAN KEBUSUKAN KETERLANJURAN SIKAP BURUK MEREKA
DIKETAHUI RAKYAT.DENDANGAN MERDU DARI MEDIA MASSA KONGKONGAN PEMERINTAH YANG PERLU
DAN WAJIB DIDENGAR RAKYAT MARHEIN.

1 comment:

Bukit Koman said...

ingin mendapatkan perhatian anda, yang tersayang Raub terhadap sesuatu yang berlaku di hometown kami. untuk maklumat terperinci, sila lawat ke
http://al2k.blogspot.com/
Thanks!